CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 12 November 2012

PENGENALAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)


Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang  menggunakan pendekatan yang lebih interaktif. Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik.

KSSR diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka. Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun berikutnya sejajar dengan perubahan usia mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan mengambil alih tetapi seringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran  menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks. Oleh itu guru-guru telah diberi kursus dan latihan untuk melaksanakan KSSR. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.

Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani program rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009. Sebanyak 50 buah sekolah  menjalani porgram rintis semua mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani program rintis dalam mata pelajaran terpilih. KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.

Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga tahun 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga tahun 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun seluruh negara. Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M. KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.


4 comments:

Unknown

Pengisian penuh manfaat. teruskan

ZANAINAH BINTI AZIZ

Terima kasih Cikgu Junaidah atas semangat dan sokongan yang diberikan. Insya Allah saya akan teruskan.

Chung Kong Lan

KSSR mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka.Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur.

ZANAINAH BINTI AZIZ

Terima kasih Cikgu Chung Kong Lan atas kesudian singgah ke blog saya. Info sebegini amat perlu buat saya yang masih belum terlibat secara langsung dengan KSSR dan ianya sebagai persediaan awal bagi saya untuk menghadapinya kelak.

Post a Comment